SEJENAK BERSAMA CIKGU MOHD. AMIN HAMZAH

Cikgu Mohd. Amin Hamzah di rumah beliau.

Biodata Guru

Nama              : MOHD. AMIN BIN HAMZAH
Tarikh Lahir   : 13 Mei 1947
Tempat Lahir  : Sungai Siput, Perak Darul Ridzuan
Status              : Berkahwin, dan mempunyai 2 orang anak,
                           seorang putera dan seorang puteri
Nama Isteri     : Khadijah Bt. Hanafiah

Alamat             : 23 Selasar Rakam 12, Taman Ipoh Jaya
                           31350 Ipoh, Perak Darul Ridzuan.

Telefon            : 05-3127437


       Cikgu Mohd. Amin B. Hamzah mula mengenali Silat Seni Gayong pada
tahun 1967. Sebelum itu, beliau juga pernah belajar Tae-Kwando di Ipoh. Namun bagi beliau, Silat Seni Gayong Malaysia adalah yang terbaik dan beliau telah bertekad untuk meneruskan silat ini sehingga ke akhir hayat.

       Pada 25 MAC 1967, beliau mula bergelanggang dengan Cikgu Ahmad Lazim di Manjoi. Pada ketika itu, rumah beliau terletak di belakang Muzium Perak dan beliau berulang ke gelanggang dengan berjalan kaki. Kalau ada rezeki, dapat juga beliau meminjam basikal kawan untuk ke sana. Selain itu, didorong semangat yang tinggi untuk belajar, beliau telah mengupah Cik Tam dengan upah RM 45.00 untuk membuat baju silat.

       Semasa belajar, pasangan pertama beliau ialah Yop Lan yang merupakan seorang bekas tentera. Selepas itu, beliau berpasangan dengan Zawawi Awie. Pada tahun 1968, beliau telah menerima Bengkong Pelangi Hijau, serta atas kesungguhan beliau pada ketika itu, beliau telah dianugerahkan gelaran Juara Pendekar Muda Perak. 

       Pada 10 - 17 Mei 1969,merupakan suatu tarikh yang sukar dilupakan oleh beliau. Beliau berlima termasuk Cikgu Ahmad Lazim telah menaiki sebuah kereta bernombor plat TA 8058 untuk pergi ke Kuala Lumpur. Di sana, berlakulah satu peristiwa yang tercatat dalam sejarah dan beliau sendiri secara langsung telah terlibat.

       Setelah pulang dari Kuala Lumpur, beliau telah mendapat Bengkong Merah di Gelanggang Manjoi. Ketika itu, cuma belasan orang saja yang menerima bengkong dan majlis penganugerahan telah diadakan di Iskandariah oleh Sultan Perak.

       Pada tahun 1972 – 1973, beliau bersama seorang rakan iaitu, En. Tarmizi dari Kuala Kangsar telah pergi ke Tapah iaitu di Buyong Adil dan Amir Khan untuk mendapatkan Bengkung Kuning. Setelah mendapat bengkung pelangi kuning, beliau diberi peluang mengajar di sana pada tahun 1981 – 1982. Beliau juga mengajar di S.M. Sri Perak dan di Sungai Sumun, Teluk Intan. Di sana beliau telah dicabar oleh beberapa orang tertentu dan berkat semangat juang yang tinggi, beliau telah berjaya mengatasinya. Di sebalik cabaran tersebut, beliau telah bertemu jodoh dengan Khadijah Binti Hanafiah di sana.

       Untuk makluman semua, beliau telah mengikut Arwahyarham Dato’ Meor Abdul Rahman sekitar tahun 1980-an. Dato’ Meor telah menganugerahkan Bengkong Hitam Cula Sakti dengan 3 Cula kepada beliau. Ketika itu juga, Cikgu Sazali turut mengambil Bengkong Hitam Cula Sakti. Di antara ujian yang telah beliau tempuhi selain permainan tangan kosong dan permainan senjata ialah:

    • digantung dengan tali nylon di atas pokok manggis

    • angkat berat 500 lb

    • memegang parang sundang dan ditarik ke atas

    • ditanam dalam lubang

    • memecah kelapa, genting dan buluh.

Beliau juga pernah bermain pentas parang 4 bersama Cikgu Hamzah atau nama sebenarnya Anuar Bin Darus.

Antara Cabaran Yang DiHadapi!

       Pada pandangan beliau, Arwahyarham Dato’ Meor Abdul Rahman merupakan seorang yang baik. Dato’ Meor tidak lokek dengan ilmunya dan beliau akan menurunkan ilmunya tidak kira tempat atau masa. Beliau juga turut berada di sisi Dato’ Meor sebelum Dato’ Meor menghembuskan nafas yang terakhir. Walaupun ketika keadaan begitu, arwahyarham masih menunjukkan buah silat. Cikgu Amin akan berasa terharu apabila mengenangkan jasa arwah Dato’ Meor pada bangsa. Selain itu, beliau pernah menyaksikan Dato’ Meor menyahut cabaran seorang Guru Silat yang agak terkenal pada 1980-an. Guru tersebut mencabar Dato’ Meor supaya menumbuk beliau. Cabaran itu disahut dan akhirnya membawa mudarat pada guru silat tersebut.

       Selain itu, dalam usaha untuk melengkapkan ilmunya, Cikgu Amin telah pergi ke Gunung Jerai, Gurun Kedah dan berjumpa dengan Cikgu Majid untuk mempelajari ilmu Lembing dan Keris, semasa Cikgu Majid masih bersama Dato’ Meor dalam Seni Silat Gayong Malaysia.

       Sehingga kini, beliau telah menjelajahi hampir seluruh Malaysia kecuali Sabah, Sarawak, Terengganu dan Kelantan untuk mengajar dan memperjuangkan silat. Di antar gelanggang-gelanggang yang pernah mendapat khidmat bakti beliau ialah;

    1. S.M.V. Ipoh

    2. S.T.A.R. Ipoh

    3. Sekolah Raja Chulan

    4. Sek. Men. Izzudin

    5. S.M. Teknik Persiaran Branch

    6. U.S.M. dan U.T.P. Tronoh

    7. Politeknik Ungku Omar

    8. Sek. Men. Anderson

    9. Sek. Raja Perempuan

    10. Kolej Islam Ipoh

    11. U.P.S.I. Tanjung Malim

    12. Clifford Kuala Kangsar

    13. Sabak Bernam dll.

Untuk makluman, anggaran murid beliau ialah lebih kurang 100 000 orang hingga kini.

       Akhir sekali, bagi beliau, perjuangan Silat Dato’ Meor perlu diteruskan untuk anak bangsa supaya tragedi 13 Mei 1969 tidak akan berulang. Itulah falsafah silat yang beliau pegang sehingga sekarang!

GAMBAR KENANGAN...