HURAIAN LAMBANG
********************


Lambang yang menjadi lencana atau terpapar pada sijil Silat Seni Gayong mempunyai makna dan pengertian tertentu. Pengertiannya secara ringkas ialah :

  1. BULAN DAN BINTANG

  2. Melambangkan agama Islam dan syiarnya berada di puncak dunia. Silat Seni Gayong meletakkan agama di tempat yang paling tinggi sebagai penyuluh hidup.

  3. BUMI

  4. Menunjukkan bahawa Silat Seni gayong akan dikembang ke seluruh dunia khasnya untuk semua muslim.

  5. KALIMAH SYAHADAH

  6. Mengisytiharkan aqidah murid Gayong yang berpegang kepada kalimah tauhid, iaitu pengEsaan Allah S.W.T. dan menjauhi syirik. Lingkungan kalimah syahadah yang mengelilingi bumi menunjukkan bahawa ajaran Islam akan tersebar ke seluruh pelusuk dunia bersama – sama dengan perkembangan Silat Seni Gayong. Kalimah Ya Hayyu, Ya Qayyum selepas kalimah syahadah melambangkan agama dan kekuatan Islam adalah kekal abadi dan akhirnya menakluki dunia keseluruhannya.

  7. BEJANA AIR

  8. Simbolik kepada universality ilmu Silat Seni Gayong. Apa yang didapati atau dilihat pada senibela diri lain samada tempatan atau luar negeri telah wujud dalam Silat Seni Gayong. Silat Seni Gayong ialah ilmu persilatan asli yang tidak diciplak dan boleh ditimba sentiasa umpama air yang tidak akan putus. Ia juga melambangkan kesatuan hati dan bulat kata kerana sepakat. Bak kata pepatah Melayu, " Bulat air kerana pembetung Bulat kata kerana sepakat ". Murid Gayong mestilah berpadu kerana menegakkan yang hak.

  9. HARIMAU

  10. Melambangkan keberanian dan kepahkawanan di darat. Ia menonjolkan identiti atau corak salah satu pelajaran Silat Seni Gayong yang diasas dari sifat dan ketangkasan seekor harimau. Resam harimau menyembunyikan kukunya, di kala tertentu sahaja ia akan menzahirkan kekuatan dan ketajaman cengkaman kukunya yang boleh mematah dan membunuh mangsanya dalam beberapa saat sahaja.

  11. KERIS BERSILANG

  12. Simbolik kepada semangat Laksamana Terbilang Melayu Dato’ Hang Tuah dan Dato’ Hang Jebat, 2 orang pahlawan Melayu yang masyhur lagi gagah berani. Keris yang merupakan salah satu pelajaran yang diajar kepada murid Gayong adalah satu lambang senjata asli bangsa Melayu. Ini membuktikan Silat Seni Gayong adalah seni warisan bangsa yang asli dan tulen.

  13. NAGA

  14. Menunjukkan bahawa Silat Seni Gayong bukan sahaja boleh diguna di darat, bahkan juga di dalam air. Logo naga ini sebagaimana dipercayai telah dihadiahkan oleh Maharaja China kepada Allahyarham Dato’ Laksamana Hang Tuah atas keberanian dan kehandalannya semasa melawat negeri China dahulu. Di sebalik maksud di atas, naga juga melambangkan Allahyarham Dato’ Meor Abdul Rahman bin Tengku Daeng Uda Mohd Hashim. Kedudukan naga yang melingkungi dunia di mana kepalanya hampir bercantum dengan ekor melambangkan ilmu Silat Seni Gayong akan terkenal ke seluruh dunia.

  15. PEDANG BERMATA DUA

  16. Melambangkan pedang Zulfakar kepunyaan Saidina Ali r.a. yang terukir kalimah suci dari Al – Quran bermaksud ‘ Kemenangan daripada Allah dan kejayaan yang hampir ’ di sepanjang mata pedang tersebut. Ia bertujuan mengenang kembali perjuangan para sahabat menegakkan Islam di zaman Jahilliyah

  17. HITAM CHULA VII

  18. Melambangkan Bengkong Hitam Harimau Pelangi Chula Sakti Gangga Negar, bengkong peribadi Allahyarham dato’ Meor Abdul Rahman bin Tengku Daeng Uda Mohd Hashim, Mahaguru Silat Seni Gayong. Di sebalik lambang tersebut, ia bermaksud Silat Seni Gayong bersendikan adat, adatlah yang mengawasi perjalanan Silat Seni Gayong. Tanpa adat, Silat Seni Gayong akan hilang kedaulatan. Oleh itu, menjadi kewajipan semua murid Gayong untuk mempertahankan adat agar hala tuju dan matlamat Silat Seni Gayong tidak diselewenegkan.

  19. KANGKUNG

  20. Menyingkap sejarah kebijaksanaan Allahyarham Dato’ Laksamana Hang Tuah yang menggunakan helah bagi melihat wajah maharaja China.

  21. TONGKAT

  22. Simbolik tongkat hikmat Nabi Musa a.s. yang diguna untuk mengeluarkan air dari batu dan membelah laut merah.

  23. SLOGAN GAYONG

Segayong, seperigi, seminum, sejalan, sedaging dan sepadu melambangkan kekuatan ukhuwwah dan kerjasama sesama segayong, apa jua keturunan seseorang itu samada Melayu, Bugis, Acheh, Banjar, Jawa atau Palembang adalah daripada rumpun yang sama mendiami gugusan Kepulauan Melayu. Diibaratkan keris, kalau diteliti akan tampak jelas perbezaan kualiti buatannya samada daripada segi bentuk ukiran hulunya atau jumlah lok, namun mata keris tetap sama tiada berbeza antara satu sama lain.